Tuesday, November 27, 2007

Industri Spa Tidak Harus Dibayangi Maksiat


Oleh Martin Kahar

KUALA LUMPUR: Bagi menggalakkan peningkatan industri spa tempatan serta melonjakkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan kesihatan, Kuala Lumpur telah menganjurkan Festival Spa dan Kesejahteraan Asia 2007.

Acara tersebut berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley di sini dari 30 Nov hingga 2 Dis dan dianjurkan oleh AIC Exhibition Centre dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Datuk Dr Victor Wee sewaktu pelancaran media acara itu berkata penganjuran festival seperti ini diharap dapat merangsang perkembangan industri spa yang menyumbang 12 hingga 18 peratus pendapatan tahunan bagi sektor pelancongan.

Menurutnya lagi, spa merupakan salah satu komponen industri pelancongan yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi pulangan pendapatan kepada negara melalui nilai tukaran asing. Pada masa yang sama, ia dapat mempromosi kepelbagaian budaya Malaysia yang unik terutama dalam rawatan kesihatan.

Penjana ekonomi

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Khamsiyah Yeop, industri spa berpotensi menjana pendapatan untuk negara menerusi kerjasama dengan industri pelancongan.

"Industri spa sememangnya sedang bekerjasama dengan sektor pelancongan iaitu dengan Tourism Malaysia. Bila pelancong datang mereka akan bermalam di hotel serta menggunakan perkhidmatan spa, dengan ini sudah tentu industri itu menyumbang kepada pendapatan negara," katanya.

"Rata-rata hotel yang menawarkan perkhidmatan spa menunjukkan peningkatan dalam kadar penginapan... ini boleh dikatakan satu industri yang sedang berkembang maju," tambahnya.

Malaysia, pusat pelancongan kesihatan

Seperti di negara-negara lain, pelancongan merupakan satu penyumbang penting kepada ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperluaskan jaringan perniagaan.

Peningkatan perniagaan rawatan spa yang begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini dikatakan mampu memberi pulangan pendapatan yang lumayan kepada negara melalui pakej pelancongan kesihatan.

Kajian menunjukkan sebanyak 25 peratus pengunjung melawat spa sekali dalam sebulan, 13 peratus dua kali sebulan dan 13 peratus mengunjungi spa sekurang-kurangnya sekali dalam jangka masa setahun.

Pelancongan kesihatan bukanlah satu fenomena baru. Negaranegara seperti Jepun, Singapura, Indonesia dan beberapa negara Eropah sudahpun menempa nama dalam penyediaan kemudahan spa bertaraf dunia, yang biasanya menjadi tarikan dalam agenda pelancongan mereka.

Malaysia juga mempunyai potensi menjadi destinasi pelancongan kesihatan yang kompetitif. Jumlah kedatangan pelancong dari Indonesia, Brunei dan Singapura untuk rawatan spa di Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak 175,000 orang, iaitu meningkat sebanyak 127 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jika mahu dibandingkan dengan negara jiran Indonesia, khasnya di Bali, spa di Malaysia masih jauh ketinggalan. Kemasyhuran spa di Bali membuatkan ramai mengatakan kunjungan pelancong ke pulau peranginan itu dianggap tidak lengkap jika tidak singgah ke salunsalun yang menawarkan perkhidmatan spa. Ini membuktikan perkhidmatan spa boleh menjadi satu daya tarikan kepada pelancong.

Melihat kejayaan di negara jiran, Malaysia juga boleh berjaya dalam bidang yang serupa seandainya usaha mengembangkan sektor ini mendapat sokongan semua pihak termasuk daripada kerajaan.

Bersandarkan kepada kekayaan khazanah sumber alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan herba dan rempah-ratus, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia juga mampu menguasai kemahiran dan tarikan pelancongan dalam bidang spa.

Fahami konsep spa sebenar


Ramai yang tidak jelas akan makna sebenar spa kerana sesetengah rawatan yang ditawarkan pengusaha tertentu tidak lain daripada perkhidmatan yang disediakan di salunsalun biasa. Sebenarnya, spa menawarkan perkhidmatan yang unik dan eksklusif.

Perkataan "spa" adalah singkatan daripada perkataan `Solus Per Aqua' daripada bahasa Latin yang bererti penyembuhan dengan air, iaitu konsep perawatan yang telah diperkenalkan sejak tahun 400 SM di Rom, iaitu pada zaman Hipokrates. Pada zaman itu, pancutan air panas semula jadi digunakan oleh askar-askar untuk merehat dan merawat badan daripada keletihan dan luka selepas perang.

Spa tertua Romawi masih wujud di Merano, Itali hingga kini, yang membuktikan kemujaraban dan populariti mata air panas semula jadi itu sebagai bahan terapi.
Di Bath, England, spa dikatakan sudah wujud sejak kurun ke18, menggunakan mata air panas semulajadi dengan tahap suhu setinggi 120 darjah Fahrenheit. Kebanyakan spa di benua Eropah yang dibuka pada kurun ke-18 dan 19 dikelilingi pemandangan indah seperti gunung dan tasik.

Di Amerika Syarikat, spa tertua terletak di Saratoga Hot Springs, New York, yang pada asalnya digunakan oleh kaum pribumi Mohawk di Amerika Utara. Pada sekitar 1970, spa itu telah dikomersilkan dengan penyediaan beberapa kemudahan seperti penginapan dan perkhidmatan lain yang berkaitan.

Di Asia, spa masih lagi pada peringkat pengenalan, dan pembangunan sektor ini belum begitu ketara. Namun begitu, telah menjadi amalan turun-temurun masyarakat Asia mengunjungi kawasan kawah atau mata air panas semulajadi untuk mandi dan berendam kerana dipercayai sumber air panas ini mempunyai kelebihan menyembuhkan penyakit.

Kini, masyarakat umum di Malaysia semakin menyedari pentingnya hidroterapi dalam meningkatkan tahap kesihatan dan mula menjadikan spa sebagai salah satu tempat kunjungan utama bagi rawatan kesihatan.

Daripada segi jantina pula, lebih ramai wanita mengunjungi spa berbanding lelaki. Menurut statistik, nisbah pengunjung spa di wanita berbanding lelaki adalah 60:40.

Memperbetul pandangan serong terhadap spa

Tindakan segelintir pengusaha spa yang menyalahgunakan premis untuk tujuan tidak bermoral membuatkan ramai di kalangan masyarakat memandang serong terhadap industri ini.

Sebagai usaha memasarkan spa tempatan supaya setanding dengan spa di peringkat antarabangsa, ada segelintir pengusaha yang mengeksploitasi wanita dengan menampilkan mereka dalam imej kurang sopan, memakai pakaian menjolok mata serta menawarkan perkhidmatanperkhidmatan tidak bermoral.

Menurut William Ng, pengerusi penganjur Festival Spa dan Kesejahteraan Asia 2007, masyarakat perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan "spa" dalam erti kata yang sebenar.

"Yang penting kita perlu bezakan apakah yang dimaksudkan dengan spa, jangan kita longgokkan industri spa ini dengan kegiatan maksiat."

"Spa adalah industri yang bertaraf antarabangsa, ramai pengusaha spa telah melabur berjuta-juta ringgit untuk membuka spa bertaraf antarabangsa, dan perkhidmatan yang disediakan adalah rawatan kesihatan seperti urutan tradisional kecantikan dan sebagainya," kata beliau.

Kebaikan rawatan spa


Spa biasanya menawarkan gabungan beberapa jenis kaedah perawatan termasuk terapi gelombang air (hydrotherapy), terapi panas (thermotherapy), terapi elektrik (electrotherapy), terapi urutan, refleksologi, terapi warna, terapi muzik, terapi ramuan tumbuhan atau jamu, terapi zat makanan, meditasi dan rawatan mengikut pendekatan agama. Bergantung kepada keperluan dan tubuh pengunjung individu, semua kaedah rawatan di spa dapat memberikan kesan positif jika dilakukan dengan cara yang betul.

Spa berupaya menyembuhkan penyakit dalaman, menyegarkan tubuh badan selain memberi tenaga dan oksigen serta menegangkan otot, menghaluskan kulit, meningkatkan daya tahan tubuh dalam melawan penyakit, meningkatkan proses metabolisme tubuh, mengurangkan ketegangan dan menenangkan fikiran. BERNAMA

No comments: