Saturday, November 24, 2007

Ramona Martabatkan Spa Malaysia

Profil

Nama: Datin Ramona Suleiman

Status: Berkahwin

Jawatan: Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA), pemilik Energy Day Spas, Persatuan Usahawan Wanita Nasional (Nawem),

Suami: Datuk Suleiman Manan

Anak-anak: Yasmin, 41; Fiona, 32; Mussadique, 30 dan Hafez Jordan, 27.

Kelulusan: Diploma Setiausaha, Kolej Stamford; Ijazah Sarjana Reiki & Hipnosis

TINDAKAN segelintir pengusaha spa memanipulasi premis untuk tujuan tidak bermoral menyuntik semangat Datin Ramona Suleiman membawa hala tuju sebenar industri itu.

Justeru, Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) itu mahu meningkatkan industri spa tempatan setanding pengusaha luar negara.

Beliau yang juga pemilik Energy Day Spas di Great Eastern Mall, Ampang dan Mont Kiara Damai, Kuala Lumpur berazam menjadikan industri spa pemangkin ekonomi negara.

Beliau berkata, spa bukan lagi milik golongan mewah kerana ia dilihat satu
keperluan untuk sihat dan cantik.

Spa terapeutik yang memberikan khidmat di hospital atau klinik meningkatkan tahap kesihatan pesakit.

“Saya ingin melihat spa sebagai satu bidang profesional dan diiktiraf masyarakat.
Golongan yang menyalahgunakan spa untuk tujuan berseronok dan
hiburan melampau sebenarnya mempersendakan bidang ini.

“Saya mahu masyarakat menganggap bidang ini bukan sesuatu yang menjijikkan tetapi industri yang menguntungkan,” katanya.

Perkembangan semasa menyaksikan aspek pelancongan perubatan semakin berkembang apabila kehadiran ramai orang luar untuk berubat di negara ini. Kosnya yang murah memacu lagi bidang ini ke arah positif.

Bagi Ramona, ia sesuatu yang tidak harus dilepaskan. Bahkan katanya, keperluan perubatan dalam spa memainkan peranan tersendiri.

“Jika negara kita mempunyai spa yang diurus secara profesional, ia akan menarik kedatangan ramai pelancong.

“Masyarakat kita tidak lagi ke luar negara untuk mendapatkan khidmat spa di sana
kerana kita ada pelbagai jenis urutan Asia hasil kepakaran orang tempatan,”
katanya.

Ramona yakin masa depan dalam bidang ini memberi impak baik kepada ekonomi.

Keperluan tenaga kerja dalam bidang berkaitan mendorongnya membuka Akademi Kesihatan Holistik dan Refleksologi Energy bertujuan menawarkan kursus kemahiran dan latihan berkaitan urutan, refleksologi serta kursus kecantikan.

Kursus dan kurikulum ini adalah yang pertama kali ditawarkan di negara ini dan ia dijalankan dengan kerjasama Akademi Kesihatan Holistik dan Refleksologi di Singapura, Kanada serta Amerika Syarikat.

Selain sibuk dengan rutin harian sebagai pengusaha spa, beliau juga aktif dalam perniagaan hartanah dan banyak mendapat tunjuk ajar suaminya, Datuk Suleiman Manan dalam selok-belok perniagaan.

Walau sesibuk mana sekalipun, beliau tidak lupa tanggungjawab terhadap keluarga. Bagi beliau, memiliki suami dan anak-anak amat membahagiakannya.

“Keluarga tidak pernah menentang hasrat saya memeluk Islam kerana kakak saya menjadi saudara baru dan hidup harmoni bersama keluarganya.

“Pesan ibu saya, kalau bersuami, ikut serta taatlah kepada suami dan agama suami. Ibu tidak pernah menjadikan agama sebagai alasan untuk meretakkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Anak-anaknya didik dalam suasana Islam dan sejak kecil mereka sudah khatam al-Quran.

Bahkan sebagai ibu, dia sendiri berusaha mendalami agama serta mendapat sokongan kuat daripada suami dan keluarga mentua.

No comments: