Monday, November 26, 2007

Spa Dan Rawatan Herba Berpotensi Tarik Pelancong Ke Sabah


KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Lebih banyak usaha perlu dilakukan oleh usahawan dan industri pelancongan di negeri ini untuk mempromosikan rawatan herba serta spa yang semakin berkembang bagi menjadikan Sabah destinasi pilihan pelancong.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata selain daya tarikan semula jadi di Sabah iaitu Gunung Kinabalu sebagai puncak tertinggi di Asia Tenggara dan syurga menyelam di Pulau Sipadan, pelancong juga dapat menikmati produk lain iaitu spa serta rawatan herba yang baik untuk kesihatan.

Semasa merasmikan seminar dua hari "Konvensyen untuk Wanita dalam Perniagaan" anjuran Persatuan Usahawan dan Iktisas Wanita Sabah (SWEPA) di sini, beliau berkata spa merupakan sebuah industri yang membantu orang ramai untuk relaks, mengurangkan tekanan dan menikmati hidup yang lebih berkualiti.

"Oleh itu, tidak hairanlah jika spa semakin berkembang bak cendawan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata dalam mempromosikan rawatan spa sebagai satu daripada destinasi pelancongan, pengusaha spa perlu menguruskan premis mereka dengan lebih profesional dan memberikan perkhidmatan terbaik.

"Ke arah itu, institusi latihan seharusnya menawarkan program pembangunan sumber manusia untuk pakar terapi bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kaedah yang diperlukan," katanya.

Pada masa yang sama, Musa berkata pihak berkuasa yang berkaitan seperti Dewan Bandaraya perlu memastikan standard operasi yang tinggi manakala organisasi seperti Sirim Bhd perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kualiti program pelancongan kesihatan negeri sentiasa dijaga.

Beliau berkata Sabah yang dikurniakan 1,250 spesies tumbuh-tumbuhan dengan nilai perubatan daripada hutan hujan tropikanya menawarkan banyak potensi untuk pertumbuhan serta pengeluaran makanan dan minuman kesihatan, ubat-ubatan, produk penjagaan kesihatan, pemakanan tambahan, perasa dan pewangi, kosmetik serta kelengkapan dandanan diri berasaskan herba.

Di Malaysia sahaja, pasaran ubat-ubatan herba sehingga kini dianggarkan bernilai RM2.35 bilion dan dijangka berkembang sehingga 15 peratus, kata Musa.

No comments: