Friday, March 9, 2007

Kehidupan Seksual Lelaki - Siri 1


Walaupun anda mungkin mempunyai pengetahuan mendalam tentang kesihatan lelaki, tetapi masih banyak yang boleh dipelajari, tentang cara-cara untuk menikmati gaya hidup lebih baik, masalah-masalah kesihatan utama yang dihadapi oleh kaum lelaki dan pentingnya mendapat rawatan perubatan dan menjalani ujian pemeriksaan dari masa ke masa. Ini kerana kaum lelaki bukan sahaja mengalami masalah kesihatan yang unik tetapi mereka juga cenderung menghidap penyakit tertentu. Tambahan pula, di seluruh dunia, wanita hidup lebih lama daripada lelaki.
Mengapa? Antara puncanya termasuk:
Secara purata, kaum lelaki biasanya lebih banyak merokok dan minum arak berbanding wanita, dan pada amnya, mereka mengamalkan gaya hidup yang kurang sihat.
Lelaki tidak mendapatkan bantuan perubatan sekerap wanita - khususnya berkaitan isu-isu kesihatan seksual.
Secara purata, lelaki lebih suka melakukan kegiatan yang lasak, mengancam nyawa dan berbahaya berbanding wanita.

Di samping itu, kaum lelaki sering menentukan status mereka berdasarkan pekerjaan masing-masing. Ini menyebabkan kaum lelaki rasa lebih tertekan dan mengabaikan emosi mereka, seterusnya menimbulkan masalah dalam kerjaya profesional mereka. Sementara itu, tekanan akan meningkat sekiranya faktor-faktor di atas memberi kesan kepada kehidupan peribadi dan hubungan seks mereka dengan pasangan mereka. Menurut kajian, lelaki yang menjalin hubungan jangka panjang biasanya hidup hingga ke usia lebih lanjut berbanding dengan lelaki bujang. Tetapi apabila masalah seks timbul, isu tersebut sering menyebabkan pasangan terasa resah, tidak puas hati, keliru dan putus asa - dan akhirnya menemui jalan buntu yang membawa kepada perpisahan atau perceraian.

Kesihatan dan Kepuasan Seks dikalangan Lelaki
Oleh sebab tahap kesihatan dan kepuasan seks boleh mempengaruhi kualiti kehidupan dan hubungan intim seseorang, perkara ini sering membimbangkan dan merisaukan ramai lelaki.
Sekiranya anda mengalami gangguan kesihatan seksual, dan menghadapi masalah mendapatkan kepuasan semasa melakukan hubungan seks, janganlah terlalu risau kerana anda tidak keseorangan. Berbincanglah dengan doktor anda, kerana rawatan yang berkesan mungkin boleh diperolehi.

Secara khusus, masalah seks lelaki membabitkan gejala yang berkaitan dengan kesukaran untuk mencapai dan mengekalkan ereksi, ejakulasi terlalu pantas, atau sukar mencapai puncak syahwat. Apa yang dianggap sebagai ereksi yang cukup tegang, cukup pantas dan cukup panjang perlu ditentukan oleh pihak-pihak yang terbabit dan bukannya ditentukan oleh waktu atau piawaian yang ditetapkan secara budi bicara. Sebagai panduan am, pertimbangkan perkara-perkara berikut:
Kebanyakan lelaki menghadapi masalah ereksi dan ejakulasi terlalu pantas atau lewat pada sesuatu masa dalam hidup mereka dan ini memang menjadi perkara biasa. Tetapi apabila masalah ini kian kerap atau menular, mereka atau pasangan mereka akhirnya akan membuat kesimpulan bahawa mereka menghadapi masalah keintiman.

Keinginan seks yang tidak sama dan kecenderungan gaya seks yang berbeza itu perkara biasa dan memang menjadi lumrah dalam hubungan jangka panjang. Yang penting ialah cara anda menangani segala perbezaan ini.

Masalah seksual lelaki biasanya mengurangkan keintiman. Apabila salah seorang daripada pasangan kerap mengalami disfungsi atau nafsu seks rendah, kedua-dua pihak biasanya berundur ke dalam dunia mental yang berasingan, yang penuh dengan keresahan dan kerisauan.

Masalah seksual yang dialami apabila usia meningkat biasanya berpunca daripada peningkatan dalam gangguan kesihatan secara keseluruhannya, seperti aterosklerosis (pengerasan arteri), tekanan darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan masalah emosi atau psikologi lain, kegagalan ginjal, sklerosis berbilang, strok dan pengambilan alkohol yang berlebihan.

Kehilangan nafsu seks, iaitu kurang aau hilang minat terhadap hubungan seks juga berlaku di peringkat yang berbeza dalam kehidupan seorang lelaki. Ia boleh berlaku kerana pelbagai sebab, termasuk tekanan dalam kehidupan harian, penyakit, pengambilan ubat-ubatan, masalah psikiatrik, dan hormon seks yang berkurangan.

Berita baik bagi anda ialah cara-cara untuk mengatasi kebanyakan masalah seks boleh didapati, iaitu melalui rawatan dan kaunseling yang sewajarnya bagi anda dan pasangan anda. Sekiranya anda menghadapi masalah, sama ada masalah kesihatan atau berkaitan dengan prestasi dan kepuasan seks, berbincanglah dengan doktor mengenai pelbagai pilihan rawatan. Jangan segan. Anda perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri. Langkah anda mendapatkan rawatan dengan segera boleh membantu anda melapangkan fikiran dan menikmati hubungan yang lebih intim dengan pasangan anda.

Jangan lupa untuk membaca rencana dalam ruang ini minggu depan. Kami akan membincangkan kesan disfungsi erektil atau kegagalan mencapai dan/atau mengekalkan ereksi yang secukupnya untuk hubungan seks yang memuaskan terhadap kesihatan seksual kaum lelaki dan kualiti kehidupan keseluruhan mereka.

No comments: