Sunday, March 11, 2007

Isu Makanan Segera


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan mengemukakan kepada Kabinet supaya iklan makanan segera yang disifatkan sebagai pembunuh senyap, diharamkan.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tentang kemungkinan menghentikan penjualan makanan segera di kantin-kantin sekolah di seluruh negara.

Soi Lek membayangkan langkah mengharamkan penjualan makanan segera di sekolah akan dikuatkuasakan memandangkan ia telah dilaksanakan di beberapa negara maju.

‘‘Tindakan membawa cadangan (pengharaman iklan makanan segera) ke Kabinet adalah untuk mendengar pandangan Jemaah Menteri, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya satu garis panduan jelas tentang iklan makanan segera dapat diwujudkan kelak,’’ katanya.

Soi Lek memberitahu terdapat cadangan supaya pengharaman hanya dibuat ke atas iklan yang membabitkan kanak-kanak sahaja supaya langkah tersebut tidak menjejaskan industri iklan makanan segera yang dianggarkan bernilai RM100 juta.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu tidak praktikal kerana iklan yang disiarkan ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

‘‘Kita akan bincang bagaimana iklan makanan segera ini dapat diharamkan kerana bilangan penyakit yang ada hubung kait dengan makanan segera sudah sampai ke tahap membimbangkan.

‘‘Kita akan ambil pandangan yang lebih rasional. Tetapi, mana lebih penting, industri iklan makanan segera yang dianggarkan bernilai RM100 juta atau tahap kesihatan 26 juta rakyat Malaysia,’’ tegasnya.

Mereka terdedah kepada makanan itu yang mengandungi kandungan lemak trans-fats, gula, garam dan bahan kimia yang tinggi. Ia juga dikategorikan sebagai ‘sampah’ dan mengancam kesihatan terutama kanak-kanak.

Penyakit-penyakit yang dicetuskan oleh makanan itu antaranya adalah kegemukan, diabetes, jantung dan kanser.

Sebelum ini, Soi Lek sendiri mengemukakan cadangan menghentikan iklan makanan segera yang disifatkan pembunuh senyap.

Cadangan itu disokong Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan pengamal perubatan di negara ini.

Mengulas lanjut, Soi Lek yang sedang bercuti di luar negara sempena Tahun Baru Cina berkata, sekiranya tidak ada usaha bersungguh-sungguh kemungkinan akan berlaku peningkatan penyakit tidak berjangkit yang berhubung kait dengan cara pemakanan di kalangan rakyat.
Ini kerana katanya, pengambilan makanan segera di kalangan rakyat Malaysia, termasuk penduduk luar bandar, sudah sampai ke tahap yang membimbangkan.

Jika di negara maju, kata beliau, orang ramai tidak digalakkan memakan burger pada awal pagi melalui pelbagai kempen termasuk menyamakan pengambilan sebiji burger dengan secawan air laut.

Tetapi di Malaysia, katanya, sungguhpun ada kempen mengamalkan gaya hidup sihat, kesannya begitu terhad.

‘‘Ini kerana, setiap pusat membeli-belah mesti ada (menjual) makanan segera,’’ katanya.

No comments: