Sunday, November 25, 2007

Wanita Suka Lelaki 'Bersih'

Membelai diri dapat mengembalikan kesegaran kepada kulit wajah, tubuh badan
Oleh Diyanah Anuar (Bintang Harian)

LELAKI lembut, tak `jantan’. Itulah anggapan yang sering kita dengar setiap kali membicarakan perihal lelaki yang prihatin dengan keadaan kulit wajah dan penampilan diri.

Lelaki membuat rawatan wajah, kuku dan tubuh badan seperti spa, dianggap pelik seolah-olah semua rawatan itu milik mutlak wanita sehinggakan lelaki yang mendapatkan rawatan sebegini dilabel bukan lelaki sejati.

Ini membuatkan masih ramai jejaka di luar sana segan-segan untuk ke salun atau spa bagi mendapatkan rawatan wajah dan badan walaupun mereka amat memerlukannya. Masih ramai yang lebih bersedia dilihat `buruk’, tidak bersih, tidak kemas daripada dilabel sebagai lelaki lembut atau setidak-tidaknya dipersoalkan kejantanan mereka.

Tetapi siapakah sebenarnya yang melabel lelaki sebegini? Jangan terkejut jika dikatakan kaum Adam sendiri yang sebenarnya mencipta istilah buat lelaki yang prihatin dengan penampilan diri ini.

Lumrah manusia yang sukar menerima perubahan dan pembaharuan, tidak boleh melihat orang lain mencipta kelainan, dengan mudah tanggapan negatif dilemparkan. Itulah yang berlaku dalam kes ini. Seorang lelaki menuduh lelaki yang lain `tidak lelaki’ hanya kerana mengambil berat `kecantikan’ wajah dan kebersihan diri.

Rata-rata wanita bersikap terbuka dengan lelaki begini. Tidak sesekali mengkategorikan mereka sebagai lelaki lembut hanya kerana lelaki ini berkongsi minat dan lebih peka menjaga kebersihan wajah dan diri berbanding wanita itu sendiri. Paling jauh pun, lelaki itu mungkin dianggap sebagai seorang lelaki yang cerewet.

Apapun anggapan masyarakat, rawatan wajah dan spa kini semakin popular bagi lelaki. Sejak gaya hidup metroseksual mula menjadi ikutan, bilangan lelaki yang prihatin mengenai penampilan kian bertambah.

Biasanya, seseorang lelaki mendapat pendedahan mengenai spa daripada teman wanita, isteri, ibu atau saudara perempuan mereka. Selepas mencuba sekali, selalunya mereka akan tertarik hati untuk menjadikannya rutin.

Minda mereka juga semakin terbuka mengenai perkhidmatan kecantikan untuk lelaki yang semakin lama semakin banyak ditawarkan di pasaran. Merujuk kepada perangkaan 2003 oleh Persatuan Spa Antarabangsa, kira-kira 30 peratus pengunjung spa adalah lelaki dan mereka ini tidak datang untuk mendapatkan urutan badan semata-mata tetapi mencuba pelbagai rawatan kecantikan yang disediakan. Jumlah berkenaan tentunya semakin bertambah sekarang ini.

Pelbagai jenis spa yang beroperasi di pasaran. Ada yang berkonsep tradisional, moden, rekreasi, perubatan dan kosmetik tapi yang mana satukah yang menjadi pilihan lelaki?

Yang pasti, apabila memilih spa untuk dikunjungi, lelaki juga seperti wanita mahukan sebuah spa yang dapat memberi keselesaan kepada mereka. Dari segi konsep dan hiasan spa pula, ia haruslah menampakkan ciri kelelakian supaya mereka tidak berasa janggal ketika berada di situ. Lelaki masih ingin kelihatan maskulin biarpun ketika menerima rawatan wajah dan tubuh atau sekadar berurut.

Malah, kebanyakan lelaki menyedari kebaikan menggabungkan regim senaman dengan rawatan di spa, yang mana ia mampu menghasilkan kesihatan yang seimbang.

Bagaimanapun, tidak banyak spa atau salun yang menyediakan perkhidmatan khusus untuk lelaki. Sebahagian besar perkhidmatan ini cuma ada di spa atau salun uniseks.

Mungkin juga kerana sambutan yang kurang menggalakkan membuatkan kebanyakan pengusaha spa atau salun belum cukup berani untuk mengkhususkan perkhidmatan spa mereka untuk kaum Adam.

Pusat Urut dan Spa Tradisional Kursani (Kursani) di Subang Jaya misalnya, beroperasi hanya untuk golongan Adam.

Beroperasi sejak sembilan tahun lalu, Kursani mengkhususkan perkhidmatan urutan dan spa serta rawatan wajah untuk golongan lelaki saja.

Kata pemilik Kursani, Zayid Hazimi, 23, dalam purata 10 pelanggan, hanya tiga atau empat orang saja yang datang untuk mendapatkan rawatan tubuh dan wajah.

“Pelanggan lebih tertumpu kepada perkhidmatan urutan berbanding spa. Jadi, belum masanya lagi untuk kami menjadikannya spa sebagai perkhidmatan utama.

“Mungkin kebanyakan lelaki masih tidak melihat kepentingan rawatan spa untuk mereka,” kata Zayid.

Tambah beliau, lelaki biasanya menganggap mereka harus menjalani rawatan wajah dan tubuh di spa hanya apabila ingin mendirikan rumah tangga. Rawatan ini dilihat sebagai satu persediaan untuk mereka dan bakal isteri menempuh gerbang perkahwinan.

“Sebab itulah kebanyakan yang mendapatkan rawatan spa di sini adalah bakal pengantin. Cuma segelintir saja yang sememangnya mahu mendapatkan rawatan spa sebagai penjagaan tubuh badan dan memanjakan diri.

“Bagi saya, pada zaman sekarang ini, golongan lelaki tidak perlu malu untuk memanjakan diri di spa kerana rawatan spa sebenarnya memberi banyak kebaikan untuk mereka.

“Seperti urutan, rawatan wajah juga dapat mengembalikan kesegaran kepada kulit wajah dan tubuh badan,” katanya sambil menambah, golongan yang sering mendapatkan khidmat urut dan spa tradisional di sini adalah terdiri dari profesional dan bekerjaya.

“Ada masanya juga mereka memperuntukkan waktu rehat tengah hari (ketika bekerja) untuk menjalani urutan bagi mengurangkan ketegangan bekerja.

“Mereka yang ingin mendapatkan rawatan spa pula biasanya berkunjung pada hari minggu,” kata Ziyad.

Mohd Rostom Mahmud, 32, yang sejak tujuh tahun lalu berkhidmat dalam rawatan urutan dan spa berkata, seperti wanita, lelaki juga memerlukan penjagaan kulit yang intensif.

“Ini kerana seperti wanita juga, kulit mereka terdedah kepada asap dan kekotoran yang terdapat di udara. Penjagaan asas seperti membersih muka saja tidak memadai. Sekali-sekala, kulit perlu disental dengan skrab untuk membuang sel kulit mati dan disapu dengan masker untuk mengembalikan nutrien pada kulit.

“Rawatan spa bagi lelaki juga secara asasnya tidak banyak beza dengan yang dilalui wanita cuma ia tidaklah serumit yang biasanya dilakukan untuk wanita.

“Tujuan rawatan untuk lelaki lebih kepada penjagaan dan kebersihan sedangkan untuk wanita ia merangkumi pencerahan dan kecantikan,” kata Mohd Rostom.

Kenapa perlu malu buat rawatan wajah

BAGI jurusolek dan dandanan, Zulfazli Suhadi, 40, lebih menguntungkan bagi seseorang lelaki membelanjakan wang mereka untuk penjagaan wajah dan tubuh badan di spa berbanding menyalurkannya ke perkara yang tidak berfaedah seperti rokok.

‘Daripada berbelanja untuk perkara sedemikian (rokok), ada baiknya jika wang itu dikumpul dan dibelanjakan untuk memanjakan diri di spa atau salun,” katanya.

Zulfazli berkata, beliau sendiri memperuntukkan sejumlah wang dan masa beberapa kali dalam sebulan untuk mengunjungi spa. Selain spa tempatan, ada masanya juga beliau gemar mengunjungi spa tradisional di Bali dan juga Thailand.

“Apa salahnya sesekali kita berbelanja lebih sedikit untuk penjagaan diri. Walaupun kita sudah melakukan penjagaan wajah di rumah, ia sebenarnya belum lengkap. Sekali-sekala kita perlu ke spa untuk dapatkan rawatan dan penjagaan lebih lanjut.

“Apatah lagi bila umur kita semakin meningkat. Wajah dan tubuh harus diberikan perhatian yang lebih berbanding ketika muda dan rawatan di spa adalah antara yang dapat membantu selain menjadi `ruang’ bagi kita untuk memanjakan diri.

Katanya, lelaki tidak perlu berasa malu untuk menunjukkan diri mereka prihatin terhadap ‘kecantikan’ kerana kesihatan dan penjagaan wajah dan tubuh badan adalah suatu perkara yang perlu diambil berat oleh kedua-dua golongan; wanita dan juga lelaki.

“Penjagaan seperti ini juga pada saya bermanfaat untuk mereka yang bekerja dalam bidang yang memerlukan mereka untuk berdepan atau berurusan dengan orang ramai. Sebagai orang yang bertanggungjawab menyolek wajah pelanggan mestilah menunjukkan saya juga menjaga penampilan, barulah orang percaya dengan kita.

“Bila diri kita bersih dan menarik juga, sudah pasti keyakinan di dalam diri turut meningkat,” katanya.

Berbeza pula dengan Eksekutif Perhubungan Awam Channel [V], Tengku Shamel Tengku Asri yang lebih selesa melakukan sendiri perawatan wajah di rumah berbanding mendapatkan rawatan yang sama di spa atau salun kecantikan. Selain kesuntukan masa, beliau berasa lebih yakin melakukan sendiri proses perawatan wajah tanpa perlu menjalani pelbagai rawatan khas untuk kulit wajah.

Sekadar menggunakan pencuci muka yang bersesuaian dengan kulit wajah sebelum menyapukan gel vitamin E, Tengku Shamel mengakui dia beruntung kerana mempunyai kulit wajah yang kurang sensitif.

“Cuma sesekali saya mendapati kulit wajah sedikit kekeringan menyebabkan saya mengamalkan gel vitamin E setiap kali selepas mencuci muka.

“Walaupun apa jua keadaan, saya akan memastikan mencuci wajah dua kali sehari di sebelah pagi dan waktu malam,” akui Tengku Shamel.

Ditanya adakah langkah penjagaan wajah itu dilakukannya bagi meningkatkan personaliti ketika berhadapan dengan orang ramai, Tengku Shamel menafikannya kerana menganggap proses penjagaan wajah sesuatu yang harus bagi setiap lelaki sebagai mementingkan kebersihan diri.

Katanya, tidak kira lelaki mahupun wanita, penjagaan wajah harus diutamakan bagi memastikan diri sentiasa bersih dan terhindar daripada sebarang kekotoran.

Komen

Azlinda Ahmad Sharif, 22, Penuntut

“Pada saya, tidak ada salahnya seseorang lelaki mendapatkan rawatan kecantikan di spa seperti wanita kerana ia menunjukkan mereka mengambil berat mengenai kebersihan diri serta penampilan mereka.

“Tidak semestinya bila seseorang mengunjungi spa, membuat rawatan wajah, manicure dan pedicure menunjukkan mereka berperwatakan seperti perempuan. Zaman sudah berubah, perkhidmatan ini juga bukanlah hanya khusus untuk wanita.

“Kalau mereka mampu untuk membelai diri mereka dengan rawatan di spa, apa salahnya. Lagipun, bukan wanita saja yang ingin kelihatan cantik dan menarik. Lelaki pun mahu kelihatan tampan juga.

“Bukankah sudah lumrah manusia, sukakan perkara yang cantik. Bukankah wanita pun biasanya cepat tertarik kepada lelaki yang berwajah bersih dan menjaga penampilan diri mereka?”

Dia Fadila, 22, Penyanyi

“Jika ada lelaki yang gemar ke spa atau salun, saya tidak terkejut. Saya sendiri kadangkala mengajak adik lelaki saya yang berusia 20 tahun mendapatkan rawatan kecantikan. Tapi biasanya beliau hanya membuat rawatan rambut atau pedicure saja.

“Ini yang disifatkan sebagai metroseksual, lelaki yang menitikberatkan penampilan diri mereka. Dalam industri hiburan, perkara ini juga satu keperluan untuk artis lelaki yang sering tampil di hadapan orang ramai.

“Sekali-sekala lelaki juga perlu penjagaan intensif untuk diri. Ia juga secara tidak langsung memberi kepuasan diri.”

Prem Jit Gill, 22, Eksekutif Acara

“Bagus juga kalau lelaki pergi ke spa. Sekurang-kurangnya mereka tahu mengapa wanita suka berkunjung ke tempat ini. Ia juga menunjukkan seseorang lelaki itu mementingkan imej mereka.

“Pergi ke spa juga tidak bermakna tahap maskulin seseorang lelaki itu akan berkurangan. Maskulin lahir dari personaliti dalaman mereka dan perwatakan seseorang, tidak seharusnya dinilai dari sudut ini (pergi ke spa).”

No comments: