Tuesday, April 24, 2007

Serai Wangi


SEKALI pandang, daun serai seperti lalang. Yang membezakan ialah aroma, perisa dan khasiatnya. Pokok serai adalah sejenis tumbuhan meliar, namun ada juga yang ditanam di kebun dan halaman rumah.Mengikut istilah saintifik, serai pilihan itu dikenali sebagai `lemon grass'. Ia berbeza dengan serai perubatan dalam penjagaan kesihatan dikenali serai wangi atau `citronella'.

Dalam masyarakat Melayu, serai sering digunakan untuk menambah perisa dalam makanan bagi menambah kelazatannya. Bagi tujuan perubatan tradisional pula, ada tiga bahagian utama boleh dimanfaatkan iaitu akar, batang dan daunnya.Khasiat serai wangi tidak terkira. Ia mampu melegakan kesakitan otot, bertindak sebagai anti septik dan digunakan secara aktif dalam dunia perubatan dan pembersihan tradisional sejak turun temurun.

Minyak serai wangi juga digunakan dalam rawatan aroma terapi yang didapati
berkesan menaikkan semangat dan mengembalikan kesegaran minda.
Bagi kebanyakan wanita dulu, selepas melahirkan anak, bidan biasanya memandikan mereka dengan air serai wangi. Ia bertujuan menghilangkan bau hanyir selepas bersalin, bau badan serta meningkatkan kesegaran badan.

Kepentingan serai wangi:
  • Mengandungi pelbagai jenis minyak yang diperlukan tubuh badan manusia.
  • Ada beberapa campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen.
  • Haruman dan aroma yang terhasil daripada pokok serai ini sebenarnya disebabkan oleh limonena dan campuran citral yang terkandung di dalamnya.
  • Dua jenis bahan kimia lain daripada pokok serai iaitu campuran Cymbopogonol dan Cymbopogon.
  • Spesies lain digunakan dalam industri minyak wangi adalah Cymbopogon martini (disuling menjadi minyak palmarosa) dan Rumput Citronella (Cymbopogon winterianus Jowitt) dari mana minyak citronella didapati.
  • Citratus digunakan untuk herba perubatan dan wangi-wangian.
  • Lilin atau gaharu yang dicampur minyak citronella pekat boleh digunakan sebagai penghalau nyamuk.