Tuesday, February 20, 2007

Urut Atasi Masalah Sakit Belakang

Petikan: Berita Harian

JIKA sentuhan dianggap terapi yang mampu mendamaikan perasaan, bagaimana pula dengan berurut? Percayalah, pasti ramai setuju jika dikatakan urut adalah kaedah terbaik untuk meredakan ketegangan.

Sejak berzaman, urut terbukti mampu melegakan kekejangan otot, urat dan sendi. Masyarakat Asia terutama di kepulauan Indonesia khususnya Bali amat terkenal dengan kepakaran hingga pelancong yang bertandang menganggap kunjungan ke destinasi itu tidak lengkap tanpa mendapatkan khidmat tukang urut.

Sebenarnya negara ini juga tidak kurang pakar urut berpengalaman seperti tukang urat cacat penglihatan di sekitar Brickfields. Bukan setakat urutan relaks atau refleksologi, sakit belakang berpunca daripada gangguan perjalanan darah dan ketegangan otot dapat dipulihkan mengikut teknik tertentu.

Biarpun urut Melayu tidak dinafikan keberkesanannya, gabungan bersama teknik tertentu dari negara seperti China turut meningkatkan lagi skil sebilangan besar tukang urut tempatan.

Antaranya pemilik Pusat Urut Maju Therapy Zone, Hasidi Hassan, 38, yang menyediakan perkhidmatan dengan menyewa sebuah lokasi di pusat membeli belah Maju Junction Kuala Lumpur. Beliau yang hilang penglihatan selepas terbabit dalam kemalangan mempunyai kepakaran tersendiri dengan menggabungkan kaedah tradisional dan teknik urut China.

Lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini, beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Urut Orang Buta Berkelayakan Malaysia mengakui cara urut yang dipelajari di The Massage School of Beijing Massage Hospital mendedahkannya dengan pelbagai teknik baru termasuk penyelesaian masalah sakit pada bahagian belakang.

Beliau berkata, tidak mustahil dengan kepakaran yang dimiliki ramai tukang urut tempatan sehingga mencapai tahap profesionalisme tinggi, kerajaan akan membina hospital khas di negara ini seperti mana Beijing Massage Hospital yang wujud sejak zaman Dinasti Ming lagi. Katanya, beliau belajar di hospital itu mengenai anatomi, fatologi, aliran aura serta meridien.

Beliau berkata, bagi setiap kes termasuk tulang belakang, sebelum membuat sebarang rawatan beliau akan diagnosis pesakit terlebih dulu dengan memicit bahagian terbabit. Jika terdapat masalah, pesakit akan berasa sedikit pedih. Namun, ia bukan 'sentuhan' biasa sebaliknya dilakukan berdasarkan teknik tertentu.

Malah, sebelum sesi rawatan dimulakan, latar belakang terutama gaya hidup pesakit perlu diselidiki kerana kesakitan sering kali berpunca daripada sikap individu sendiri. Ada kalanya, rutin di pejabat iaitu duduk dalam tempoh lama turut mempengaruhi keadaan seseorang hingga menimbulkan kesakitan bagi jangkamasa panjang.

“Tukang urut hanya diberi kelebihan memulihkan seseorang berdasarkan diagnosis. Kami tidak mempunyai magik yang boleh menyembuhkan pesakit serta merta. Jika keadaan mereka masih boleh dipulihkan contohnya seperti slip disc (selisih sendi), urutan perlu dijalankan secara berkala.

“Kebiasaannya kepedihan itu disebabkan tulang kecil pada bahagian tulang belakang bengkok hingga menekan sistem saraf. Di bahagian dalam tulang belakang inilah letaknya segala macam saraf penting yang mengirimkan isyarat kepada otak. Jika ia bengkok atau kemek, secara tidak langsung tekanan mengakibatkan saraf tersekat.

“Keadaan itu menyebabkan individu turut berasa pedih pada bahagian lain termasuk bahu, leher, pinggang hingga ke kaki. Impak terbabit sebenarnya akibat himpitan terhadap saraf berkaitan. Faktor itu menyebabkan tangan atau kaki kita kebas. Justeru, teknik urutan mampu memperbetulkan keadaan tulang kembali kepada asal,” katanya.Bagi kes tulang belakang tercedera akibat kemalangan atau patah sama ada tangan atau kaki, Hasidi menyarankan pesakit mendapatkan nasihat doktor kerana masalah terbabit perlu dirujuk ke unit otopedik. Akuinya, rawatan moden menjamin kecederaan pesakit tidak bertambah teruk.

“Bukan semua sakit boleh diubati dengan berurut. Selisih sendi, terseliuh, tulang belakang bengkok dan yang berkaitan ketegangan otot dapat dipulihkan. Selagi saraf tidak putus atau situasi pesakit belum kronik seperti lumpuh, sesi urutan berulangan mampu mengurangkan bebanan mereka.“Bagi individu lumpuh, apa yang mampu kami lakukan hanya mengurut untuk meredakan ketegangan. Sekurang-kurangnya kaedah itu dapat melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh kerana mereka tidak mampu bergerak,” katanya yang turut berkemahiran melakukan urutan refleksologi kaki dan tangan, aromaterapi tradisional serta urutan pemulihan kepala dan bahu.

Menyentuh mengenai teori angin dalam badan seperti timbul sesuatu seakan 'biji' pada bahagian sakit contohnya pada bahu, ia sebenarnya tanda darah tersekat disebabkan ketegangan otot. Apabila dipicit, pesakit boleh sendawa yang disebabkan pengumpulan asid dalam perut individu berkenaan bukannya angin pada bahunya.

Tidak dinafikan kaedah picit, pulas, regang, tarik dan sebagainya ke atas tubuh pesakit memang tampak agak kasar namun hasilnya cukup menakjubkan. Badan terasa lebih 'ringan' malah sengal-sengal hilang. Hasidi menyarankan mereka yang mempunyai masalah otot tegang cepat berurut untuk mengelakkan ia mengganggu tulang belakang.

Untuk Maklumat Tambahan: http://urut.cjb.net

No comments: