Tuesday, February 20, 2007

FAKTA TENTANG ROKOK

MEROKOK telah dianggap sebagai penyakit global dengan implikasi serius ke atas kesihatan individu terutama kepada bukan perokok, sistem kesihatan sesebuah negara dan kesejahteraan ekonomi. Diramalkan bahawa kematian akibat tabiat merokok di dunia meningkat daripada empat juta orang setiap tahun pada tahun 1998 kepada 10 juta orang pada tahun 2030.

Berdasarkan kepada perangkaan tempatan, terdapat 3.6 juta orang perokok di Malaysia pada tahun 2000 dan angka ini akan meningkat kepada 4.6 juta orang perokok menjelang tahun 2025. Dari segi taburan perokok mengikut jantina pula, 49 peratus lelaki yang berusia 15 tahun ke atas akan merokok pada tahun 2000. Jumlah ini akan menyusut kepada 30 peratus pada tahun 2025. Sebaliknya, perokok wanita yang berusia 15 tahun ke atas adalah dalam lingkungan empat peratus daripada jumlah wanita pada tahun 2025. Pertambahan jumlah perokok wanita dijangka kesan daripada usaha agresif yang dilakukan oleh syarikat-syarikat tembakau untuk mendapatkan pelanggan baru. Sememangnya, jika tiada usaha yang digiat dilakukan untuk menangani masalah ini di Malaysia, dikhuatiri lebih banyak kematian akan berlaku di Malaysia akibat tabiat merokok ini.

Kematian

Perlu difahamkan bahawa, walaupun kematian akibat merokok di negara-negara maju dijangka menurun, di kalangan negara membangun, kematian akibat merokok diramal meningkat sekitar tujuh daripada setiap 10 kematian. Perubahan ketara dari negara maju ke negara membangun disebabkan oleh kempen kesedaran tentang bahaya merokok yang berkesan sehingga menyebabkan syarikat-syarikat tembakau antarabangsa terpaksa memindahkan kempen pemasaran rokok di kalangan perokok baru di negara-negara membangun. Dari segi perokok baru, sekiranya seseorang individu mengelakkan diri daripada terjebak dengan tabiat merokok, kemungkinan besar individu tersebut tidak akan merokok apabila dewasa. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan perokok mula cuba merokok sebelum usia 25 tahun sedangkan lapan daripada 10 orang remaja di negara-negara maju akan mulai merokok semasa usia remaja.
Malah, di negara-negara membangun seperti China, peningkatan yang mendadak berlaku bagi perokok baru yang berusia antara 15 hingga 19 tahun di antara tahun 1984 hingga 1996.

Mengikut kaji selidik Global Youth Tobacco Survey, daripada 50,000 orang remaja yang berusia antara 13 hingga 15 tahun di 20 buah negara membangun, 24 peratus responden mengaku telah mencuba rokok dan sembilan peratus pula mengaku ketagih dengan rokok. Dua puluh lima peratus daripada penagih rokok telah mula merokok pada usia 11 tahun dan 75 peratus daripada penagih rokok mengaku mahu membuang tabiat merokok ini.

Maklumat salah

Mengapa tabiat merokok bermula awal di kalangan remaja dewasa ini? Memang tidak dapat dinafikan bahawa promosi yang dilakukan oleh syarikat rokok berjaya memberi gambaran positif tentang tabiat ini. Maklumat yang salah tentang keseronokan dan kepuasan diri dengan merokok, imej diri yang bergaya, kawalan tekanan diri yagn disiarkan melalui media massa mengaburi hakikat bahawa merokok sebenarnya membahayakan kesihatan di samping membazirkan kewangan yang terhad di kalangan remaja.

Gambaran sebaliknya yang diterima oleh golongan remaja tidak disertakan dengan maklumat sebenarnya seperti kesan penyakit dan pengharaman merokok di tempat-tempat awam. Dalam hal ini, maklumat seperti merokok boleh menyebabkan ketagihan akibat semasa rokok pertama dihisap tidak langsung ditonjolkan kepada gologan remaja. Malah, kajian terkini di Amerika Syarikat yang disiarkan pada bulan September 2000 menunjukkan bahawa nikotin dalam rokok boleh menyebabkan ketagihan lebih daripada yang disangka berbanding dengan heroin dan alkohol.

Mengikut kajian ini, lebih 50 peratus perokok yang menghisap rokok setiap hari akan ketagih rokok. Jika dicuba pada kali pertama, terdapat kemungkinan 32 peratus pengguna akan menjadi ketagih kepada rokok berbanding 23 peratus dengan heroin, 16 peratus dengan kokain dan 15 peratus dengan alkohol. Kajian lain ke atas kesan merokok pada 681 orang remaja yang berumur antara 12-13 tahun di Amerika Syarikat menunjukkan kesan ketagihan berlaku pada 95 orang responden setelah cuba merokok buat pertama kali.

Mengawal

Berdasarkan kajian di atas, penting bahawa remaja memahami setiap cubaan merokok pada usia sedemikian biasanya akan menyebabkan ketagihan berlaku dengan sendirinya. Langkah penerangan tentang ketagihan yang terjadi perlu diterangkan kepada golongan remaja agar bahaya merokok tidak dipandang ringan. Maklumat sedemikian perlu direnung selalu oleh remaja supaya tidak terjebak dengan ketagihan rokok apabila usia meningkat dewasa.

Oleh kerana kecenderungan remaja yang masih ingin cuba merokok disebabkan oleh sifat naluri golongan tersebut, maka sesetengah masyarakat biasanya akan mengehadkan keputusan golongan remaja untuk merokok. Di Malaysia, cara ini dilaksanakan melalui Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 yang mengharamkan penjualan rokok kepada remaja di bawah umur 18 tahun.

Cara lain yang berkesan untuk mengawal tabiat merokok di kalangan remaja adalah dengan mengehadkan keupayaan pembelian rokok oleh golongan tersebut. Dalam urusan pemasaran rokok di Malaysia, rokok disediakan dalam beberapa saiz bungkusan sesuai dengan kehendak pembeli. Secara logiknya, bungkusan rokok terkecil akan digemari oleh golongan remaja disebabkan harga yang selaras dengan kemampuan mereka.

Jika had dikenakan ke atas satu bentuk bungkusan rokok terbesar sahaja di pasaran, maka secara tak langsung golongan remaja tidak mampu untuk membeli rokok. Cara lain yang boleh dikenakan adalah dengan mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas rokok supaya harga rokok di pasaran tinggi.

Harga rokok yang tinggi akan menyebabkan golongan remaja tersekat daripada membeli rokok kerana kosnya tinggi mampu ditampung oleh kewangan yang terhad. Secara perbandingan, langkah ini memang wajar dilaksanakan di Malaysia kerana harga rokok masih lagi rendah berbanding dengan negara-negara lain.

Langkah kawalan ke atas rokok perlu diperhebatkan. Jika tidak, sudah tentu kematian sia-sia dan penyakit akibat tabiat buruk ini akan terus meningkat. Pada masa ini, penyakit yang berkaitan dengan merokok seperti penyakit jantung, kanser dan penyakit saluran darah tersumbat merupakan penyebab utama kematian di Malaysia.

Rokok menyebabkan kanser. Bagaimanapun satu fakta yang perlu anda ketahui ialah bahan yang menyebabkan ketagihan iaitu nikotin bukanlah bahan yang menyebabkan kanser ini. Walaupun demikian, nikotin boleh menyebabkan masalah sakit cardiovascular. Bahan-bahan lain di dalam rokok ialah tar (kanser) dan carbon monoxide (sakit cardiovascular).

Risiko-risiko menghisap rokokRokok telah diketahui boleh menyebabkan penyakit-penyakit berikut:
kanser paru-paru, mulut dan salur bladdersakit jantungsakit pernafasan seperti chronic bronchitis dan emphysemastrok (angin ahmar)
sakit-sakit lain seperti ulser peptik dan komplikasi semasa mengandung.

Kesan rokok ini bukan sahaja mengenai orang yang merokok (active smoking) tetapi juga orang yang tidak merokok yang duduk dekat dengan perokok dan menghidu asap rokok (passive smoking) terutamanya bayi dan kanak-kanak.

No comments: