Oleh: NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN (Harian Metro)
AMALAN diet yang drastik dan pengambilan ubat kurus untuk menurunkan berat badan sebenarnya boleh diibaratkan sebagai tindakan kurang bertimbang rasa terhadap diri sendiri kerana ia bukan saja tidak berkesan, malah boleh mendatangkan kesan negatif tanpa disedari.
Apabila anda mengamalkan diet drastik, berat badan turun dengan cepat. Sebenarnya berat yang hilang itu adalah berat air dan otot. Namun, selepas satu tempoh biasanya berat badan akan kekal, walaupun jumlah makanan diambil makin sedikit.
Pengerusi Hal Ehwal Perubatan, Sains Kesihatan dan Pendidikan, Shaklee Corporation, Dr Jamie McManus, berkata ramai tidak sedar mereka mengamalkan diet yang salah sehingga terpaksa berlapar semata-mata mahu menurunkan berat badan.
“Badan akan mengalami penurunan jisim otot dan peningkatan simpanan lemak. Simpanan lemak yang banyak juga boleh memperlahankan lagi kadar metabolisme dan usaha menurunkan berat badan menjadi lebih sukar,” katanya pada pelancaran program pengurusan berat badan, Cinch anjuran Shaklee Corporation.
Berlebihan berat badan, kegemukan dan obesiti menjadi masalah sejagat. Bagaimanapun, kata Dr McManus, berat badan lebihan bukan satu masalah hinggalah ia menjejaskan kesihatan. Justeru, sebelum ia dianggap sebagai masalah, langkah terbaik ialah mengelakkannya daripada terjadi.Soal Selidik Pemakanan Kebangsaan 2002/2003 yang dijalankan Kementerian Kesihatan ke atas orang dewasa mendapati, masalah berlebihan berat badan meningkat kepada 27 peratus (4.2 juta) berbanding hanya 16.6 peratus (1.7 juta) pada 1996.
Masalahnya, ramai tidak sedar mereka mengalami masalah kekurangan zat walaupun banyak makan. Keadaan ini menyebabkan badan menghasilkan isyarat untuk kita makan lebih banyak bagi menampung kekurangan zat tadi.Pilihan makanan yang tidak seimbang dan kurang sihat menyebabkan masalah kekurangan zat tetap berlaku, walaupun makin banyak makan.
Pengurusan berat badan tidak harus diukur pada timbangan saja, sebaliknya ia perlu bersifat lebih menyeluruh seperti peratusan lemak dalam badan, terutama lemak yang berkumpul pada abdomen atau perut.Ubat kurus (termasuk yang diambil di bawah pengawasan doktor) hanya sesuai bagi individu yang terlalu gemuk dengan syarat jika semua langkah seperti bersenam dan kawalan makanan tidak berjaya.
“Pengguna juga perlu lebih berhati-hati, banyak ubat kurus kini diharamkan kerana ada banyak kesan sampingan. Ubat penghalang badan menyerap lemak juga tidak bagus kerana badan memerlukan lemak untuk mendapatkan vitamin A, D, E dan K.
“Individu yang berumur dan ada masalah kesihatan juga disaran mendapatkan nasihat doktor sebelum mencuba ubat atau program menguruskan badan untuk mengelak risiko tidak diingini.
“Biar apapun program yang anda cuba, pastikan ia disertai dengan senaman dan banyakkan minum. Apabila mencapai berat yang diimpikan, teruskan gaya pemakanan seimbang dan bersenam,” katanya.
Maklumat Lanjut: http://cinch.cjb.net
No comments:
Post a Comment